Wednesday, January 19, 2011

Revolusi Orang Muda Jatuhkan Pemimpin Zalim Tunisia





Haris Zalkapli@
http://www.harakahdaily.net
Satu tindakan kerajaan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali dalam menghadapi protes rakyat Tunisia yang tercetus 17 Disember lalu ialah menutup institusi pengajian tinggi, tindakan yang boleh menghalang orang muda berkumpul, dan supaya mereka berada di rumah.
Usaha menghalang orang muda daripada terlibat aktif dalam protes besar-besaran di negara Afrika Utara itu walau bagaimanapun tidak berjaya, dan kini dunia telah menyaksikan kejatuhan seorang pemimpin yang telah memerintah selama 23 tahun.
Masalah pengangguran dan peningkatan kos sara hidup di negara itu menerima reaksi paling keras daripada rakyatnya, dalam protes yang memuncak pada hujung minggu pada 8 dan 9 Januari lalu.
Ben Ali akhirnya melepaskan jawatannya dan melarikan diri bersama keluarga ke Arab Saudi, selepas Perancis dikatakan enggan membenarkan pesawat membawanya mendarat di negara bekas penjajah Tunisia itu.
Orang muda Tunisia – dengan peranan besar pihak tentera juga – yang berdepan tekanan ekonomi hasil dasar kepimpinan Ben Ali, telah berjaya menjatuhkan pemimpin yang telah memerintah sejak 1987 itu.

Respons Ben Ali terhadap protes besar-besaran itu menunjukkan kediktatorannya dan bagaimana dia menggunakan segala alasan yang boleh untuk kekal berkuasa.
Beliau mengaitkan mereka yang terlibat dengan protes sebagai teroris untuk membina sokongan untuk dirinya, menggunakan kedudukan Tunisia sebagai pemain penting memerangi militan di Afrika Utara.
Beliau juga memecat menteri dalam negerinya, mengarahkan pembebasan mereka yang ditahan semasa protes dan menjanjikan peluang pekerjaan, tawaran-tawaran menarik kepada generasi muda.
Tawaran-tawaran itu walau bagaimanapun sudah terlambat. Protes terus dijalankan oleh orang muda Tunisia hingga membawa kepada kejatuhan Ben Ali, selepas puluhan nyawa terkorban.
Episod kebangkitan rakyat di Tunisia ini telah memberi gambaran potensi yang dimiliki belia sesebuah negara.
Apa yang tidak dicapai oleh parti-parti politik – yang banyak daripadanya dikatakan tercalar kredibiliti mereka kerana mempunyai hubungan baik dengan Ben Ali – diselesaikan dengan peranan penting orang muda dalam tempoh sebulan.
Kejatuhan Ben Ali akhirnya membawa kepada penubuhan sebuah kerajaan perpaduan, yang ditubuhkan di tengah-tengah kekacauan yang masih berterusan.
Perdana Menteri Mohammed Ghannouchi yang memegang jawatan itu sejak 1999 telah membawa beberapa figur pembangkang ke dalam kerajaan perpaduan itu, dan kini bersedia menghadapi pilihan raya.
Perlembagaan Tunisia menetapkan pilihan raya presiden diadakan dalam tempoh 60 hari.
Kerajaan baharu Tunisa itu menjanjikan media yang bebas dan partisipasi politik yang lebih luas.
Ini walau bagaimanapun perlu diperhatikan dan dinilai dengan lebih kritikal lagi, kerana janji tersebut bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan.
Perdana menteri kini juga dikenali sebagai orang Ben Ali dan tidak boleh memisahkan diri daripada segala dasar ekonomi yang membawa kepada situasi yang mencetuskan kebangkitan rakyat itu.
Sebarang kesimpulan masih awal untuk dibuat, kerana proses membina semula kerajaan masih berlangsung di bawah kerajaan perpaduan nasional yang baru ditubuhkan.
Seperti yang mudah berlaku, mereka yang turun memprotes boleh dirampas perjuangan mereka oleh para oportunis yang lebih cekap dan mendapat bantuan pihak-pihak berkepentingan.
Jalan untuk melihat janji-janji manis yang dikemukakan terlaksana masih jauh, walaupun kelihatan sudah hampir.
Permainan politik dalaman tidak dapat dielakkan daripada berlaku dan boleh sahaja terjadi perubahan yang sudah berlaku ini akhirnya tidak menunaikan janjinya.
Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan membayangkan wujud potensi campur tangan yang boleh merampas dan mengubah haluan yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Tunisia itu.
Beliau menggesa agar pilihan rakyat Tunisia dihormati dalam pilihan raya yang akan diadakan nanti, menggesa supaya kuasa-kuasa Barat “menerima hakikat akan pilihan oleh rakyat Tunisia nanti, dengan tidak memberikan tekanan kepada mana-mana pihak terutamanya terhadap kumpulan Islam yang selama ini menghadapi berbagai tekanan dan tindakan zalim.”
Mengulas hal yang sama, pengerusi Citizens International, S M Mohamed Idris dalam kenyataannya memberi amaran campur tangan asing sehingga perubahan ini akhirnya digantikan oleh mereka yang tidak berbeza dengan Ben Ali.
“Penggerak revolusi Tunisia perlu menyedari bahawa Perancis dan Amerika Syarikat mempunyai ramai penyokong di dalam kerajaan, polis, tentera, kehakiman, media, NGO dan kumpulan perniagaan.
“Kuasa imperialis ini sudah tentu sedang sibuk merancang bagaimana untuk memastikan bahawa kuasa politik dipindahkan kepada mereka yang akan berkhidmat kepada bekas penjajah yang mempunyai agenda anti-Islam itu.
“Janganlah Tunisia mengalami nasib malang Algeria di mana tentera dengan bantuan AS dan Perancis, membunuh proses demokrasi selepas pergerakan politik Islam FIS [Barisan Pembebasan Islam] memenangi pilihan raya,” tegasnya.
Pemain politik yang lebih licik dan berpengalaman pasti lebih bijak mengatur langkah, memanfaatkan sebarang agenda untuk kepentingan sendiri.
Selepas orang muda Tunisia membuka ruang untuk perubahan ini, pemain-pemain lain yang juga mengimpikan perubahan ke arah kebaikan perlu menjalankan tanggungjawabnya dengan sempurna, agar tenaga dan nyawa yang telah dikorbankan generasi muda itu tidak sia-sia.
Dan hal ini bukan hanya tertakluk di Tunisia, tetapi juga di mana-mana negara yang mengharapkan generasi muda menyumbang tenaga untuk melihat perubahan.



















No comments:

Post a Comment