Saturday, July 23, 2011

Cara Menyambut Bulan Ramadhan




Segala pujian kepada Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, salawat dan salam buat Junjungan mulia Sayidina Muhammad dan kepada keluarganya. 
Saudara-saudari seislam yang dimuliakan, 
Andainya seorang teman yang anda kasihi dan segani, menghubungi anda dan menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda? 
Tentunya anda bergembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah anda dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut. Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman anda akan lakukan ?
Jika demikian…wahai saudara-saudari yang dikasihi Allah… bagaimana pula yang akan datang menjengok anda bukan sahaja dikasihi oleh diri akan sendiri bahkan ianya dikasihi oleh Pencipta anda Allah swt, RasulNya Muhammad saw dan sekelian orang-orang yang beriman ! 
Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan dari Allah swt ! Ia adalah bulan Ramadhan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajjud dan qiyamullail, bulan kesabaran dan ketaqwaan, bulan kerahmatan, keampunan dan kebebasan dari api neraka. 
Terdapat padanya suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Kita memohon limpahan kurniaanNya. 
Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan. 
Oleh kerana itulah sifatnya tetamu mulia ini, amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya – menyambutnya dengan cara yang terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah dari kunjungannya dan apabila ianya pulang jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah. { Sesungguhnya telah berjayalah orang yang menyucikan dirinya (surah as-Syams 9)]. 
Dek kerana itulah ulama terdahulu menghargai tetamu ini… kerana itu diceritakan bahawa : { “Mereka memohon Allah lanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadhan sepanjang enam bulan sebelumnya… apabila ianya berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdo’a agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadhan sepanjang berapa bulan selepas itu..} sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Rajab rahimahullah.