Saturday, July 5, 2014

Hikmah Sebagai Pelajar Kejuruteraan

Sebelum ini aku masih lagi terfikir-fikir, kenapa Allah telah menetapkan aku untuk menjadi sebagai seorang pelajar kejuruteraan. Sebagai pelajar jurutera:

1) Aku tidak nampak sangat apa kaitan antara subjek mekanikal yang aku belajar dalam kelas dengan akhirat dan agama Islam. Macammana nak kait kan? Yang aku belajar banyak tentang enjin kereta (Internal Combustion Engine, subjek yang paling horror, amik 3 atau 4 kali tu biasa), matematik sampai Math 5 (memang hangin), belajar thermodynamics, design and structural, materials dan lain-lain. Serius aku cakap, ko memang tak rasa zouk ilmu Islam tu masa ko belajar dalam kelas, sebab lecturer pun bukan selalu bagi tazkirah dalam kelas (tapi gaya cakap mereka tentang Islam kadang2 best terutamanya lecturer dari luar negara).

2) Aku tidak mampu fokus atau menghabiskan masa yang banyak untuk belajar ilmu-ilmu agama Islam. Kadang-kadang jelous dengan kawan-kawan yang belajar di kulliyyah ilmu wahyu, perbandingan agama, bahasa arab dan lain-lain. Mereka di beri peluang untuk memahami Islam dengan baik supaya boleh bergelar ustaz atau ulama pada suatu hari nanti. Kita yang belajar kat engine ni?? Jangan cakap la, nak hafal satu hadis pun susah, kalau hafal pun, lekat sebulan dua je la...

3) Antara yang paling aku sedih juga aku tak boleh belajar bahasa Arab! Memang sedih la, sebab dah belajar dan bahasa Arab masa kat sekolah dari form 1 hingga ke form 5 (5 tahun tu...), tapi hampeh la sebab masa tu xde kesedaran lagi, belajar kerana nak exam je pun. Kalau nak bercakap bahasa arab ngan kawan2, memang kena gelak habis la dalam kelas. Dan bila masuk UIA ni, ni memang terasa pedih di hulu hati ni, sebab tak tahu nak apply bahasa arab ni. Rugi la, sebab kat sini ramai mat2 dan minah arab (phewww), jadi sepatutnya kat sini lah tempat paling sesuai nak praktis cakap bahasa arab. Tapi tu la, hampir 4 tahun di Gombak ni, entah berapa kerat je la bahasa arab yang aku cakap...

4) Kalau engineering student, subjek2 dia memang payah... terutamanya yang amik majoring automotive macam aku ni ha.. ye la, semua kos pun ada payah masing-masing, tapi setakat aku tahu, engineering ni antara kos yang paling mencabar la. Mana taknya, daripada pusat asasi PJ lagi smpai lani ramai mana dah kawan-kawan aku berundur diri dari meneruskan perjuangannya di medan engineering ni.. huhuhu (tambah-tambah engineering di UIA ni). Lagipun budak2 engine ni kool sangat, biasa la, 2-3 hari nak exam baru pulun study sampai tak tidur malam... study bagai nak gila orang kata. Jadi, kalau dah perangai camtu, don't expect too much la k.

5) Dan lain-lain faktor yang entum semua boleh fikir sendiri, cthnya tempoh pengajian (terutamanya di UIA ni), peluang pekerjaan, sambung belajar dll.

Ramadhan kali ini, 1435 hijrah, di penghujung 'usia' ku di tempat pengajian, aku seolah-olah dapat merasai hikmahnya. Hikmah yang dicari-cari semakin nampak sinarnya dan jika digali lagi, insyaaAllah akan ku temui. Walaupun agak terlewat (beberapa bulan lagi nak konvo), aku bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk aku meredhai dan bukan sahaja redha, tapi bahkan menghayati hikmah di sebalik ketentuan Allah terhadap hidupku ini.

Antara hikmah yang dapat aku rasakan, Allah tidak lagi memberi peluang untuk belajar agama seperti mana rakan-rakan yang lain, supaya mudah untuk aku merasa rendah diri dengan orang-orang yang beragama dan ustaz ni. Dengan kejahilan yang ada pada diriku ini, melatih aku untuk tidak merasakan aku ni lebih hebat daripada orang lain.  Bukan mudah untuk menghilangkan sifat takbur, ujub dan segala sifat mazmumah dalam diri, jadi ianya perlukan latihan dan kena mempelajari ilmu tasawuf. Jadi, kalau dah tahu kita ni jahil, belajar engineering je, tak payah nak tunjuk gheti sangat la nak berhujah atau nak berfatwa tentang agama. Ada hikmahnya, mungkin jika aku ni pelajar agama, kerana ilmu agama yang ada pada diriku ini membuatkan aku mudah merasa takbur dan ujub dengan diri sendiri,sebab iman yang lemah dan senipis kulit bawang dalam hati.

Hikmah lainnya yang aku rasa, disebabkan jahilnya diri ini tentang ilmu agama, Allah menyuruh untuk aku berusaha lebih gigih drpd orang yang amik kos agama. Ye lah, belajar engineering lagi, bagaimana aku kena pastikan yang keperluan ilmu agama yang cukup dalam diri ini dipenuhi? Jadi kenalah usaha lebih sedikit berbanding orang lain. InsyaaAllah, walaupun ilmu kita ni tak banyak macam ustaz dan ulama, tapi Allah aka mengurniakan rahmatNya kepada kita atas usaha dan niat kita untuk mempelajari ilmu agama.

*bersambung* (nak buat FYP pulak wei... )



HKR: Pendirian dan Harapan Mahasiswa

Hafis Firdaus Mohamad .



Negara sekali lagi digemparkan dengan himpunan berskala besar yang bakal dianjurkan di Stadium Merdeka. Kami mahasiswa mengharapkan agar kerjasama dan rundingan kesemua pihak yang terlibat berjalan dengan lancar. Pihak polis dan kerajaan Malaysia harus diberi pujian kerana dilihat telah memberi jaminan kerjasama yang sebaiknya sepanjang himpunan kebangkitan rakyat yang bakal berlangsung 12 Januari ini.

Kami sebagai Mahasiswa berpendirian untuk menyokong kepada hak dan kebenaran yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia Fasal 10 yang jelas tertera bahawa  warga negara diberi hak untuk berhimpun.

Perlembagaan adalah  dokumen induk untuk rujukan sesebuah negara bangsa. Hal ini jelas menunjukkan bahawa himpunan aman bukanlah suatu jenayah di dalam negara kita bahkan mana-mana negara yang memperjuangkan demokrasi.

Justeru, kami menasihatkan agar mana-mana pihak dan institusi seperti institusi pengajian tinggi dan kerajaan tidak seharusnya mengeluarkan sebarang ancaman dan ugutan kepada mana-mana individu terutamanya kepada Mahasiswa yang ingin terlibat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Rakyat semestinya diberi kebebasan untuk mempuyai pendirian politik mereka sendiri dan kebebasan untuk menunaikan hak yang telah dijamin di dalam perlembagaan persekutuan.

Kepada Rakan Mahasiswa

Sebagai seorang yang selayaknya berfikir secara matang dan rasional, apa-apa sahaja tindakan kita seharusnya didahului dengan pertimbangan yang sihat dan betul.

Tiada masalah bagi mahasiswa untuk bersama-sama rakyat untuk menunaikan hak mereka, bahkan mahasiswa seharusnya lebih terkehadapan untuk mempejuangkan hak dan kebenaran sepertimana yang telah ditujunkkan oleh aktivis mahasiwa terdahulu.

Mahasiswa yang ingin bersama rakyat dalam himpunan ini dipersilakan. Kepada mahasiswa yang tidak ingin terlibat dalam himpunan ini disebabkan ada masalah tertentu dan juga mungkin disebabkan pendirian politik, juga tiada masalah, itu adalah hak kita sebagai Mahasiswa. Perbezaan pegangan politik dan ideologi tidak seharusnya menjadi sebab untuk mahasiswa bermusuhan antara satu sama lain.

Sikap hormat kritis haruslah kita semaikan. Cuma diharapkan agar idealisma haruslah dibentuk bermula daripada sekarang agar kita mampu menjadi seorang mahasiswa yang sentiasa berfikir untuk kemaslahatan ummat.

Harapan Mahasiswa.

Kebangkitan dan suara rakyat sememangnya mustahil untuk disekat dan dihalang oleh mana-mana pihak sekalipun, begitu juga dengan penganjuran Himpunan Kebangkitan Rakyat pada kali ini. Justeru kami berharap agar:

1)    Kerjasama yang cukup baik antara pihak penganjur dan pihak kerajaan terutamanya daripda Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, pihak PDRM dan pengurusan Stadium Merdeka sama ada sebelum, semasa dan selepas himpunan.

2)    Pihak polis mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu yang mencuba atau mencetuskan provokasi yang boleh mendatangkan bahaya kepada peserta himpunan.

3)    Pihak polis tidak lagi melakukan tangkapan kepada peserta himpunan yang berkelakuan baik, bukannya melakukan penangkapan secara 'tangkap muat' seperti yang berlaku di dalam himpunan sebelum ini. Pastikan yang benar-benar bersalah dan yang melakukan tindakan berbahaya sahaja ditangkap.

4)    Pihak Universiti dan pemberi biasiswa tidak mengeluarkan sebarang ancaman dan ungutan kepada mahasiswa yang ingin terlibat dalam himpunan ini. Jika berlaku sedemikian, hal ini menunjukkan pihak tersebut telah menyekat mahasiswa untuk mennuaikan hak mereka dan menafikan kebebasan mahasiswa.

5)    Tidak timbul budaya khianat dan fitnah daripada mana-mana pihak sekalipun sepanjang himpunan ini berlangsung.

6)    Pemimpin yang mengetuai perarakan peserta ke tempat himpunan mampu untuk mengawal pergerakan peserta supaya berada dalam keadaan terkawal dan aman.

7)     Peserta himpunan hendaklah sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan yang mengetuai pergerakan dan tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh mendatangkan situasi bahaya.

8)    Peserta himpunan menjaga kebersihan sepanjang pergerakan dan juga di Stadium Merdeka. Tunjukkan imej rakyat Malaysia yang baik dan pembersih.

Negara Malaysia seharusnya menuju kearah politik yang lebih matang dan membuka ruang dan peluang yang luas untuk rakyat berfikir dan menilai terutamanya dalam kalangan Mahasiswa.

Zaman sekarang bukan lagi zaman untuk menerapkan politik ketakutan kepada rakyat tetapi harus mengetengahkan politik harapan kepada rakyat.

Suasana politik yang membenarkan usaha untuk memperkukuhkan demokrasi daripada segenap lapisan rakyat mestilah terbuka luas demi mencapai negara yang lebih aman dan makmur.


Hafis Firdaus Mohamad
Setiausaha Agung,
Majlis Perwakilan Pelajar,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Link: http://www.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/press-unedited/15870-hkr-pendirian-dan-harapan-mahasiswa