Friday, August 12, 2011

Ringkas Orientalis: Part 1

Tulisan oleh sahabatku:
 Mohd Fakurazi Bin Ghazali  yang sedang gigih menuntut ilmu di Mohammed V University di Souissi Morocco.

Assalamualaikum…
Jom kita mengenali sedikit mengenai musuh Islam ini iaitu orintalis. Dalam ruangan yang ringkas ini, penulis mengupas tajuk ini secara umum agar kita dapat mengenali latar belakang mereka dan terselamat daripada tipu daya mereka yang licik lagi keji.
Persoalan-persoalan di bawah ini, insyaAllah akan dikupas secara umum. Selain itu, segala perkongsian dan penambahan amat2 dialu-alukan.

-Bilakah sejarah penubuhan gerakan ini dan pengasasnya?
- Apakah pandangan mereka terhadap agama Islam serta bidang kajian mereka terhadap agama ini?
- Siapakah dalang-dalangnya serta bahan-bahan tulisan mereka?

Sebelum itu, ingin nyatakan bahawa penulis merujuk kepada kitab karangan Dr. Musthofa As-Sibaie dalam kitabnya Al-Istisyraq Wa Al-Mustasyriqun serta Kitab Al-Manhaj Al-Istisyraqiy Li Dirasah As-Sunnah An-Nabawiyyah Wa Ulumiha oleh Dr Abd. Aziz Farih.

Ayuh! Kita mulakan perbincangan kita.
1) Sejarah Penubuhan Serta Pengasasnya
Tarikh permulaan gerakan orientalisme tidak dapat dipastikan secara tepat. Namun, berlaku penterjemahan al-quran dan kitab-kitab bahasa Arab secara giat semasa kegemilangan islam di Andalus. Kegiatan ini dilakukan oleh para paderi di Barat. Selain itu, mereka juga belajar daripada ulama-ulama Islam dalam pelbagai ilmu khususnya dalam ilmu perubatan, falsafah dan matematik.
Antara para paderi yang awal berbuat demikian ialah Jerbert pada tahun 999 Masihi selepas belajar di pusat-pusat pengajian di Andalus, Pierrele Aenere dan Gerard De Gremone.
Selepas kembalinya paderi-paderi ini ke negara mereka, mereka menyebarkannya serta mengasaskan institusi-institusi pengajian yang berorientasikan bahasa arab seperti Pusat Pengajian “Badwi”. Selama 6 kurun mereka mempelajari B. Arab dan segala ilmu berkaitan Islam.
Semasa kurun ke-18, bermulalah kurun penjajahan negara barat terhadap dunia Islam. Di sinilah peranan yang licik dan keji dimainkan oleh para orientalis ini. Mereka menyebarkan pemikiran mereka ke dalam dunia Islam, mengubah manuskrip-manuskrip lama dengan membelinya atau mencurinya serta membawa pulang ke negara mereka. Manuskrip-manuskrip masih kekal di perpustakaan-perpustakaan Eropah sehingga mencapai bilangan 150000 naskhah dan semakin bertambah sehingga ke hari ini.
Pada akhir kurun ke-19, diadakan muktamar yang pertama di Paris pada tahun 1873M yang membincangkan pengajian tentang timur dan agama-agamanya serta tamadunnya. Perjumpaan-perjumpaan ini masih berlangsung sehingga ke hari ini.